Monday, November 29, 2010

Hidangan Sayuran

Gulai Nangka Kerisik

Bahan-bahan:

500 gm nangka muda - dipotong kecil dan direbus empuk
1 helai daun kunyit - dimayang
1 1/2 liter santan
50 gm gula kabung
Minyak untuk menumis
Garam secukup rasa

Bahan Tumbuk:

10 tangkai cili padi
2 cm kunyit hidup
200 gm udang kering
2 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
Sedikit belacan
1 sudu besar lada hitam
4 sudu besar kerisik

Cara Menyediakan:

1. Panaskan minyak untuk menumis, tumis kesemua bahan tumbuk sehingga garing.

2. Masukkan nangka muda yang telah direbus, gula kabung dan tuangkan santan.

3. Perlahankan api, kacau masakan selalu dan biarkan sehingga kuah menjadi pekat.

4. Kacau lagi hingga sebati, masukkan garam dan daun kunyit.

5. Angkat dan hidangkan

Paceri Rebung

Bahan-bahan:

1 batang rebung mentah
1 1/2 sudu besar rempah kari
1 cawan pati santan
4 ulas bawang merah - dikisar
2 ulas bawang putih - dikisar
2 cm halia -dikisar
3 cm kulit kayu manis
4 biji buah pala
2 kuntum bunga lawang
1 sudu besar cili kisar
Garam dan gula secukup rasa

Cara Menyediakan:

1. Rebung dipotong dadu dan dikelar-kelar bahagian tepinya tetapi tidak putus, dan rebus hingga empuk.

2. Setelah empuk, perahkan airnya dan ketepikan. Sementara itu, panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang hingga naik bau. Kemudian tambahkan bawang merah, bawang putih, halia dan cili yang dikisar. Tumis hingga semua bahan kering dan wangi aromanya.

3. Bancuhkan rempah kari dengan sedikit santan cair dan masakkan dalam bahan-bahan tumisan tadi. Biarkan ia pecah minyak. Tambahkan garam dan gula.

4. Kemudian masukkan rebung yang direbus tadi. Biarkan hingga mendidih dan kuahnya agak pekat.

Jantung Manis

Bahan-bahan:

1 biji jantung pisang
5 ulas bawang merah - tumbuk lumat
3 ulas bawang putih - tumbuk lumat
3 tangkai cili merah - tumbuk lumat
1/2 cawan ikan bilis - tumbuk lumat
3 cawan santan
4 keping tempe - dipotong kecil
Garam dan gula secukup rasa

Cara Menyediakan:

1. Belah jantung memanjang menjadi empat keping, dan rebus bersama 2 cawan air serta bahan-bahan tumbuk.

2. Bila jantung separuh empuk, masukkan bahan-bahan tumbuk, tempe dan santan. Biarkan mendidih. Kecilkan api dan biarkan mereneh selama 7 minit. Perisakan dengan garam dan gula.

Nota: Lebih enak jika menggunakan jantung pisang nipa

Tauhu Goreng Halia Muda

Bahan-bahan:

5 keping tauhu - dibersihkan dan dipotong 4
3 cm halia muda - dihiris nipis
1 ulas bawang putih - dihiris
3 tangkai daun bawang - dikerat 2 cm
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap
1/2 cawan air
1 sudu kecil tepung jagung
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menggoreng dan menumis

Cara Menyediakan:

1. Panaskan minyak secukupnya dan goreng tauhu sehingga kuning keemasan. Angkat dan tuskan minyaknya.

2. Panaskan dua sudu besar minyak dan tumiskan halia muda, serta bawang putih. Kacau sehingga bawang layu dan masukkan sos tiram, kicap, garam, gula, air dan tauhu. Kacau sehingga rata.

3. Tepung jagung dibancuh dengan sedikit air supaya tidak berketul kemudian dituangkan ke dalam masakan. Masukkan daun bawang, kacau sehingga rata dan angkat.

Tumis Tauhu Jepun & Asparagus

Bahan-bahan:

2 paket tauhu Jepun - dipotong bulat
100 gm asparagus - dikerat panjang
300 gm isi ketam
200 gm isi ayam - dipotong kecil
1 gelas stok ayam
Minyak untuk menumis
Garam dan serbuk perisa secukup rasa
2 ulas bawang putih - dicincang
1 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar bawang goreng
1 tangkai cili merah - dihiris

Cara Menyediakan:

1. Panaskan minyak hingga betul-betul panas dan goreng tauhu hingga keperangan. Ketepikan.

2. Panaskan dua sudu besar minyak dan tumis bawang putih hingga wangi, tuangkan stok ayam, biarkan mendidih masukkan isi ayam serta ketam. Kacau rata.

3. Masukkan pula saparagus, garam dan perisa. Akhir sekali masukkan tepung jagung yang telah dibancuh dengan sedikit air. Kacau rata dan tuangkan ke atas tauhu tadi. Taburkan bawang goreng, hias dengan hirisan cili merah dan hidangkan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment